KUALA KANGSAR: Seorang pemandu treler tersepit setelah kenderaan yang dinaikinya melanggar belakang sebuah lagi treler di Kilometer 243.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan di sini awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, akibat kemalangan itu mangsa lelaki berusia 23 tahun itu cedera dan tersepit di bahagian kaki.

Jelasnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.56 pagi tadi.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar bergegas ke lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan dua buah treler.

"Sebuah treler melanggar treler lain dari belakang, akibat itu terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jurucakap itu berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan menyelamat, seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi yang diketuai oleh PBK II Ahmad Shauqi Afiq Che Darus itu tamat pada jam 5 pagi.